Pages

Thursday, January 30, 2014

Johor DT waspada ancaman T-Team



Johor Darul Ta’zim (Johor DT) harus berwaspada dengan corak permainan pantas T-Team seandainya impian melangkah ke suku akhir tidak tersekat apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Larkin, malam esok.

Skuad Harimau Selatan yang turun berbekalkan misi memburu kejuaraan Piala FA untuk menempatkan diri dalam kancah Piala AFC musim depan, perlu berdepan ujian getir kerana T-Team menjadi pasukan pertama menewaskan Johor DT 1-0 pada aksi Liga Super, baru-baru ini.

Apapun pengendali Harimau Selatan, Cesar Ferrando Jiminez tampak yakin namun tetap berhati-hati apabila berdepan anak didik Mohd Azraai Khor Abdullah yang ingin menidakkan harapan mereka.

“Mungkin Aidil Zafuan (Abdul Radzak) tidak dapat diturunkan kerana masih mengalami kecederaan paha kanan namun saya mempunyai pengganti mengisi kekosongan tempatnya dengan kemungkinan menurunkan sama ada S Subramaniam atau Mohd Fadhli Shas.

“Pemain yang akan mengisi kekosongan Aidil Zafuan perlu beraksi lebih 100 peratus malah yang lain juga harus bekerja keras.

“Piala FA amat penting bagi Johor DT, kita perlu menang kerana sebagai finalis musim lalu, sasaran utama kali ini menjuarai piala itu bagi memburu slot ke Piala AFC musim depan.

Saya yakin pemain akan memberi persembahan terbaik,” katanya.


Sememangnya Jiminez perlu berwaspada dengan corak permainan T-Team yang dianggap `pembunuh senyap' sejak dibimbing Mohd Azraai kerana pasukan itu mempunyai barisan mantap serta bijak menyusun strategi.

Barisan tengah Harimau Selatan sekali lagi menjadi tumpuan bukan saja bagi menyekat gerakan pasukan kelab dari Pantai Timur itu malah perlu bijak mengatur strategi ampuh dengan kelibat Pablo Aimar menjadi taruhan terbaik sambil dibantu Shakir Shaari.

Yang pasti, JDT akan turun habis-habisan bukan saja mahu mencari kemenangan sebaliknya membalas dendam kekecewaan selepas tumpas 1-0 kepada T-Team pada aksi Liga Super, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment