Pages

Friday, January 17, 2014

Utamakan Semangat Berpasukan

“Mereka yang akan diturunkan malam ini harus beraksi sebagai satu pasukan dan berusaha memberi kemenangan untuk Johor”.

Kata-kata yang hadir daripada pengendali Johor Darul Ta’zim (DT), Cesar Ferrando Jimenez itu jelas menggambarkan betapa beliau mengutamakan semangat berpasukan apabila berdepan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata, tanpa semangat berpasukan, kemungkinan apa yang dirancang tidak akan menjadi, sebaliknya ia boleh menyebabkan pasukan lawan mudah mengatasi skuad Harimau Selatan dan harapan meraih tiga mata penuh terlepas dari genggaman.

“Tapi, saya yakin pemain sudah bersedia mengharungi aksi pertama. Begitupun, saya tidak mahu dedahkan siapa akan berada dalam kesebelasan utama kerana bagi saya, semua 29 pemain dalam skuad ini adalah barisan utama yang mampu menggalas tugas.

“Kami sudah mengharungi lima perlawanan persahabatan kompetitif, sekali gus memberi peluang kepada saya untuk mengesan setiap kelemahan manakala latihan sebelum saingan bermula tertumpu kepada memperbaiki apa jua kelemahan itu. Jelas sekali semua pemain memberi kerjasama untuk memantapkan Johor DT.

“Apa yang lebih diutamakan adalah persefahaman antara pemain dan saya cukup berpuas hati kerana aksi pertama menentang Perak amat penting bagi memastikan kami tidak tewas di depan penyokong sendiri,” katanya.

Tanpa mendedahkan barisan utama skuad Harimau Selatan, bayangan pemain yang akan turun berdepan anak didik Abu Bakar Fadzim, kemungkinan membabitkan Norazlan Razali selaku penjaga gol dan gandingan Baihakki Khaizan serta kapten Aidil Zafuan Abd Radzak yang mengemudi jentera pertahanan sambil dibantu pemain muda Mohd Fazly Mazlan di posisi bek kiri manakala Mahali Jasuli, kanan.

No comments:

Post a Comment