Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Cesar Ferrando Jiminez berharap kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Bandung Raya yang ditentang dalam aksi persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini mampu ‘menelanjangkan’ kelemahan skuad bimbingannya.
Harapan Jiminez itu tidak sukar ditafsirkan kerana dia mahu mengetahui sejauh mana prestasi sebenar pemain dan berharap dengan kelemahan yang dikesan membolehkannya memperbaikinya menjelang saingan Liga Super yang disingkap tirainya, 18 Januari ini.
Apa lagi dalam saingan tiga perlawanan persahabatan sebelum ini, JDT tampak tidak berdepan masalah apabila mudah membelasah dua kelab Singapura, Tampines Rovers 7-1 dan Hougang United 3- 0 serta Melaka United 4-1 kelmarin.
“Kita sudah mengharungi tiga perlawanan persahabatan dan kesemuanya mencatat rekod bersih kemenangan dan aksi menentang kelab dari Indonesia itu penting buat saya untuk mengetahui tahap sebenar pemain JDT.
Bambang perkuat Pelita
“Saya harap mereka mampu memberi cabaran bermakna kepada kami dan sudah tentu saya akan turunkan barisan terbaik pada perlawanan itu kerana mahu pemain meraih pengalaman berguna beraksi pada perlawanan yang kompetitif biarpun ia aksi persahabatan,” katanya dalam sidang media, semalam.
Sememangnya aksi JDT menentang Pelita Bandung Raya yang pada musim lalu sekadar menamatkan saingan ISL di tangga ke-15 penting buat Jiminez yang akan menurunkan kelibat tiga tenaga import - Pablo Aimar, Baihakki Khaizan dan Luciano Figueroa.
Sementara itu, jurulatih Pelita Bandung Raya, Dejan Antonic yang pernah membimbing Arema FC pada musim lalu amat teruja untuk menentang JDT, apa lagi selepas kelab itu melakukan rombakan dengan mengikat bekas penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas dan turut diperkuatkan dua pemain Garuda Muda, Mokhamad Syaifuddin dan Rizky Pellu yang membantu skuad itu meraih pingat perak pada Sukan SEA Myanmar, baru-baru ini.
“Skuad yang saya bimbing lebih 80 peratus adalah mukabaru dan pasukan ini dalam rangka persiapan mengharungi saingan ISL bermula bulan depan,” katanya.
Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2014010705500720140107055007/Article
No comments:
Post a Comment