Pages

Friday, January 17, 2014

Nazrin Nawi Berada Pada Tahap Terbaik Menghadapi Perak


Sama ada akan diturunkan atau tidak, ia tidak menghalang Mohd Nazrin Nawi berada pada tahap terbaik menghadapi Perak pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam esok.

Pemain sayap kiri Johor Darul Takzim (jDT) mengakui perlu bersaing dengan Nurul Azwan Roya untuk merebut posisi itu, namun menganggapnya sebagai persaingan sihat kerana keputusan terletak kepada jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez untuk menentukan kesebelasan utama.

Katanya sepanjang latihan, pengendali dari Sepanyol itu menganggap semua pemain barisan utama dan sentiasa memberi dorongan untuk memantapkan corak permainan.


“Saya menghormati cara jurulatih (Jiminez) mengendalikan sesi latihan dan banyak ilmu yang dicurahkan kepada pemain terutama corak taktikal yang lebih ampuh dan sememangnya ia amat berguna untuk persiapan menghadapi Perak, nanti.

“Tidak kisah siapa menjadi pilihan Jiminez kerana yang penting kami menang dan jika tersenarai, saya pasti akan memberi persembahan terbaik. Aksi pertama amat penting kerana kami beraksi di laman sendiri,” katanya.

Kelicikan Nazrin yang memiliki corak permainan pantas bakal menjadi igauan buruk buat benteng pertahanan lawan, namun pemain kebangsaan itu menganggap kombinasi berpasukan amat penting untuk memburu kemenangan ke atas Perak.

Menurutnya, Perak mempertaruhkan ramai muka yang bakal memberi saingan sengit kepada skuad Harimau Selatan, namun yakin kepakaran Jiminez membentuk corak taktikal berkesan mampu merealisasikan impian tiga mata.

“Kami tahu aksi pertama mungkin wujud perasaan gugup, namun Jiminez lebih mengutamakan keyakinan dan saya lihat pendekatan beliau amat berkesan selepas rakan sepasukan tampak begitu bersemangat memulakan kempen Liga Super,” kata Nazrin.

Sumber: Hmetro.Com.my

No comments:

Post a Comment