Pages

Wednesday, January 8, 2014

Musuh Utama Safee Sali


Penyerang Johor Darul Tazim (JDT), Safee Sali menganggap dirinya belum berada pada tahap memuaskan dan akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan prestasi sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 18 Januari ini.

Walaupun sudah meledakkan tiga gol selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan, baginya masih ada ruang untuk memperbaiki setiap kelemahan di bawah bimbingan jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez.
Ia satu permulaan baik untuk beri lebih keyakinan kepada saya. Tapi saya belum puas hati dengan apa yang dipamerkan kerana saya mampu beri persembahan yang lebih mantap.

Latihan bersama Jiminez banyak membantu saya meningkatkan prestasi dan jurulatih itu juga sering beri motivasi kepada saya. Ini sudah tentu menguatkan semangat untuk memastikan saya berada pada tahap terbaik, katanya.


Buka ruang 

Safee berkata memang berbaloi dengan tiga jaringan yang dihasilkannya, malah dia cukup serasi beraksi bersama Pablo Aimar yang tahu untuk melorongkan bola bagi membuka ruang kepadanya melakukan penyudah.

Pengantin baru itu kini terus berusaha untuk mengembalikan persembahan terbaik yang pernah dilakukan satu ketika dahulu malah dengan keupayaan menjaringkan gol pada dua aksi persahabatan memberinya lebih keyakinan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama sebelum saingan Liga-M bermula.
Dia menjaringkan dua gol ketika membantu JDT menewaskan Melaka United 4-1 dan gol penyamaan untuk mengikat Pelita Bandung Raya 1-1 dalam aksi persahabatan kelmarin.

Sudah tentu setiap pemain ingin bermain dan bagi saya siapa yang berada pada tahap terbaik dia berhak berada dalam skuad utama, katanya.

No comments:

Post a Comment