Pages

Thursday, January 2, 2014

Jiminez gembira Johor DT bukti keupayaan


Corak permainan pantas sememangnya menjadi pilihan pengendali Johor Darul Takzim (DT), Cesar Ferrando Jiminez dan ia terbukti pada dua aksi persahabatan yang diadakan baru-baru ini.

Kemenangan besar Johor DT 7-1 ke atas kelab dari Liga Singapura (Liga S), Tampines Rovers FC dan terbaru mudah mengatasi Hougang United FC 3-0 jelas menggembirakan pengendali dari Sepanyol itu.

Namun ada beberapa kelemahan perlu segera diatasi Jiminez terutama ada pemain yang masih belum dapat menyesuaikan diri dengan corak taktikal bekas jurulatih Atletico Madrid dan Valencia itu apabila tidak dapat mengekalkan corak pantas yang diterapkan pada aksi persahabatan.


Apa pun senario itu tidak menimbulkan keresahan buat Jiminez dan yakin mampu mengatasinya pada sesi latihan yang jelas begitu sistematik untuk membuat persiapan pada aksi persahabatan seterusnya menentang Melaka, esok, disusuli aksi menentang kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Bandung Raya, Selasa ini sebelum menentang kelab dari Singapura, Home United, Jumaat depan menjadi medan terbaik untuk menentukan pemain utama bagi mengharungi kempen Liga Super yang bermula 18 Januari ini.

“Sepanjang dua aksi lalu, saya berpuas hati dengan komitmen pemain yang sudah tahu corak taktikal yang dipratikkan. Namun ada sedikit kekurangan apabila rentak permainan pantas belum mampu disesuaikan oleh beberapa pemain.

“Ia terbukti pada babak kedua ketika menentang Hougang United FC, baru-baru apabila beberapa pemain memperlahankan permainan namun saya anggap senario itu tidak serius memandangkan Hariss Harun, Irfan Fazail dan Mohd Fadhli Shas yang baru pulang dari Sukan SEA Myanmar baru-baru ini belum serasi dengan corak taktikal Johor DT.

“Saya yakin pada aksi persahabatan seterusnya, ketiga-tiga pemain itu mampu mengatasi masalah itu dan akan membentuk barisan mantap dan paling mustahak memastikan pemain yakin pada diri sendiri ketika tahap kecergasan mereka amat baik,” katanya.

Untuk mengatasi masalah itu, Jiminez akan memberikan motivasi kepada pemain supaya tidak berada dalam keadaan tertekan sebaliknya beraksi dengan tenang tanpa membuat kesilapan mudah.

Beliau menambah corak permainan pantas amat penting dalam permainan bola sepak moden dan berasa bangga apabila barisan pemain Johor DT pada musim baru ini memiliki kualiti tinggi dan perlu dibentuk rapi dengan teknik permainan bola sepak yang kreatif sepanjang 90 minit.


“Saya ada banyak pilihan untuk menyenaraikan pemain dalam kesebelasan utama dan sudah ada bayangan skuad utama namun apa yang penting setiap pemain harus serius pada sesi latihan dan dari situ saya akan menilai mereka.


“Setiap pemain yang berada di padang sama ada pemain utama atau simpanan tetap penting bagi saya kerana setiap saat dan minit dalam permainan bola sepak beri kesan terhadap keputusan perlawanan,” kata Jiminez.

No comments:

Post a Comment