Pages

Monday, January 6, 2014

Jiminez puji Safee Sali


Johor Bahru: Kelibat penyerang kebangsaan, Safee Sali yang meledakkan dua gol untuk membantu Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menang 4-1 ke atas Melaka United pada aksi persahabatan di Stadium Larkin, kelmarin mendapat pujian ketua jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez

Jiminez nyata gembira dengan kesungguhan Safee yang tampak sudah kembali menemui sentuhan penyudah selepas musim lalu persembahannya agak kurang konsisten.

Malah pengendali dari Sepanyol itu yang membimbing skuad Harimau Selatan percaya Safee bakal muncul penyerang digeruni dan mampu beri kekuatan kepada pasukan dari selatan tanah air itu untuk memburu kejuaraan sama ada Piala FA atau Liga Super untuk memburu slot ke Piala AFC musim 2015.


Justeru, Jiminez menuntut bukan saja Safee sebaliknya semua pemain memberi persembahan terbaik bagi mencari tempat dalam kesebelasan utama dan aksi menentang kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Bandung Raya, di Stadium Larkin, malam esok menjadi medan terbaik mengenal pasti kesebelasan utama untuk mengharungi kempen Liga Super bermula 18 Januari ini.

“Safee sudah tunjukkan kemampuannya dan saya bangga dengan kesungguhan dia namun masih ada ruang untuk mempertingkatkan corak permainan dan tidak mustahil dia akan tersenarai dalam kesebelasan utama.

“Kemenangan ketiga berturut-turut pada aksi persahabatan memang menggembirakan tapi masih ada ruang yang perlu diperbaiki dan aksi menentang kelab dari Indonesia amat penting bagi saya menilai pemain yang akan disenarai dalam kesebelasan utama pada saingan Liga Super nanti.

“Apa pun barisan tengah harus lebih kreatif dan saya lihat tanpa Pablo Aimar selepas dikeluarkan pada babak kedua, tempo perlawanan kembali perlahan dan seharusnya ia tidak berlaku dan perlu kekal dengan tempo pantas sepanjang 90 minit,” katanya.

Pada aksi menentang Melaka United, Jiminez menggunakan formasi 4-2-3-1 dengan corak permainan pantas dan hantaran bola bersilih ganti bagi menguasai posisi pertahanan dan tengah untuk memudahkan tugas barisan serangan menyusup ke benteng pertahanan lawan.

No comments:

Post a Comment