Pages

Sunday, January 5, 2014

Harimau Selatan Buru Gelaran Trebel

Johor Darul Takzim memburu gelaran trebel pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula 17 Januari ini.

Sasaran itu bersandarkan kepada barisan pemain yang dimiliki mereka selain prestasi semasa Johor DT 1 yang dianggap antara pasukan pilihan musim ini.

Bagi penolong jurulatih Johor DT 1, Ismail Ibrahim, beliau yakin anak-anak buahnya mampu merealisasikan misi tersebut, apatah lagi Harimau Selatan kini dibimbing jurulatih berkaliber dari Sepanyol, Cesar Ferrando Jimenez.

Pada masa sama, pertaruhan besar Johor DT 1 membawa bintang Argentina, Pablo Aimar dan Luciano Figueroa dilihat mula membuahkan hasil.

Buktinya, kedua-dua pemain termahal itu masing-masing meledak satu gol ketika membantu Johor DT 1 menang 4-1 ke atas Melaka United FC pada aksi persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.


Dua gol lagi dijaringkan oleh penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali.

“Dengan dibarisi pemain bertaraf dunia seperti Pablo dan Luciano, serta diperkuatkan lagi dengan kehadiran ramai pemain kebangsaan seperti Safee, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Safiq (Rahim), saya rasa tidak mustahil kami mampu memenangi gelaran trebel musim ini.

“Pasukan ini dibarisi ramai pemain berkualiti, bermula daripada pemain kesebelasan utama sehingga pemain simpanan.

“Jadi, saya rasa kami memiliki kualiti yang seimbang dalam memberi cabaran pada kempen Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia.

“Cuma, apa yang perlu dipastikan ialah semua pemain kami sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal bagi menggalas misi tersebut,” ujar Ismail selepas aksi persahabatan tersebut.

Ismail menambah, barisan pemain JDT 1 ketika ini perlu bersaing sesama sendiri untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Semua pemain harus menunjukkan prestasi yang konsisten dalam setiap latihan atau permainan sekiranya mahu terus kekal dalam skuad utama.

“Saya rasa ini sesuatu yang bagus kerana persaingan sihat ini mampu memberi impak yang positif kepada pasukan ini. Jadi, sebab itu saya yakin kami mampu menggalas misi trebel ini pada musim ini” ujarnya.

No comments:

Post a Comment