Pages

Saturday, September 24, 2016

Liga Super: JDT berarak sambut kejuaraan hatrik

JOHOR BAHRU: Trofi Liga Super yang dimenangi Johor Darul Ta'zim (JDT) diarak ke sekitar Johor Bahru sebentar tadi selepas mereka mencipta kejuaraan hatrik Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin hasil kejayaan membelasah T-Team, 5-1.


Sebelum aksi membabitkan JDT dan The Titans bermula, penyokong tuan rumah sudah pun memulakan keraian dengan melakukan alunan ombak ala 'Mexican Wave' bagi meriahkan suasana sebagai tanda menyambut kejayaan luar biasa itu. Lokasi yang dilalui malam tadi adalah Jalan Datuk Jaafar, Kebun Teh, Tun Razak, Wong Ah Fook, Gereja, Trus, Ibrahim, Pantai Lido, Gerbang Mahkota Istana Bukit Serene (Jalan Skudai), Sungai Chat dan berakhir di Dataran MBJB.

Antara tetamu kenamaan yang hadir adalah Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim. Majlis penyerahan Piala Liga Super bersalut emas malam tadi disempurnakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kepada Presiden JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim. Tunku Tun Aminah kemudian menyerahkan piala berkenaan kepada kapten JDT, Safiq Rahim sebelum disambut sorakan peminat yang hadir di stadium.


Semua pemain bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kemudian mengelilingi stadium bagi sama-sama peminat meraikan kemenangan yang mencatat sejarah tersendiri itu. Selesai sambutan di stadium, pemain kemudian berarak mengelilingi bandar raya Johor Bahru bersama piala menaiki bas khas sebelum ke Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi acara sambutan bersama peminat.

Terdahulu, dalam aksi malam tadi, JDT melengkapkan aksi terakhir di laman sendiri dengan rekod bersih tanpa kalah ketika saingan hanya berbaki satu perlawanan lagi. Dalam aksi itu, gol pertama Harimau Selatan dihasilkan oleh Amirul Hadi Zainal, sebelum disusuli jaringan hatrik pemain import, Juan Martin Lucero manakala Abdoulaye Maiga menjaringkan gol sendiri manakala Patrick Cruz buat T-Team.

No comments:

Post a Comment