Pages

Tuesday, September 27, 2016

JDT Perlu Guna Kelebihan Stadium Larkin Berdepan JSW Bengaluru



Mario Gomez mahu Johor Darul Ta’zim (JDT) menggunakan sepenuhnya kekebalan laman sendiri untuk mencari kelebihan selesa apabila bersemuka dengan JSW Bengaluru dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFC hari ini.

Menurut Gomez, 59, pemain perlu bermain bermati-matian untuk memastikan Harimau Selatan meraih bekalan selesa di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebelum ke India untuk pertemuan kedua pada 19 Oktober depan.

Katanya, Bengaluru adalah lawan berbeza di bawah kendalian ketua jurulatih baharu Albert Roca berbanding skuad yang pernah dikalahkan JDT 2-1 pada Februari tahun lalu dalam pusingan kelayakan Liga Juara-juara (ACL).


“Kemenangan tahun lalu tidak memberi seberang erti kerana ini adalah perlawanan yang berbeza buat kami. Sudah pastinya ini adalah pertemuan yang sukar kerana Benga­luru tidak kurang hebatnya namun kami perlu menang dengan apa cara sekali pun.

“Bagi perlawanan timbal balik seperti ini, amat penting untuk menang perlawanan pertama lebih-lebih lagi apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri. Pemain perlu melakukan yang terbaik demi pasukan dan peminat kerana ini adalah perlawanan terakhir di Larkin pada musim ini.

“Melihatkan keadaan sekarang, JDT berada di landasan terbaik lebih-lebih lagi baru sahaja menjulang trofi Liga Super. Walau pun pemain masih agak kepenatan, namun mereka mempunyai mentaliti juara yang dapat diterjemahkan kepada kemenangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, pengendali dari Argentina itu memberi amaran kepada pasukannya bahawa mereka perlu mengawasi dua pemain baharu dari Sepanyol yang memperkuatkan Bengaluru kali ini iaitu Juan Fernandez yang beraksi sebagai pertahanan tengah dan pemain tengah Álvaro Rubio.

Melihat rakaman perlawanan Bengaluru menentang Tampines Rovers dalam pusingan suku akhir lalu, Gomez berkata ketinggian Fernandez serta keupayaan teknikal Rubio perlu diberi tumpuan kerana kelebihan itu boleh menentukan arah perlawanan esok.

“Selain itu, di bawah kendali jurulatih baharu, mereka turut menggunakan pendekatan taktikal yang berbeza dan lebih terbuka dengan formasi 4-4-2 menggantikan 5-3-2. Mungkin mereka akan mengubah taktikal dalam perlawanan (esok) dan kami perlu berwaspada sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Hariss Harun berkata dia dan rakan sepasukannya sudah bersiap sedia menjelang perlawanan esok dan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Selatan.

“Kami terpaksa melupakan seketika kegembiraan menjuarai Liga Super tiga musim berturut-turut dan memberi tumpuan penuh kepada pertemuan esok kerana ada satu lagi sasaran yang belum tercapai iaitu mempertahankan kejuaraan Piala AFC,” katanya.

No comments:

Post a Comment