Pages

Saturday, May 7, 2016

KUASA NEGERI JOHOR



Johor Mesti Sentiasa Jadi Johor.

Dengan segala perkara-perkara yang sedang berlaku dalam negara pada masa ini, ianya seperti menunjukkan sudah tiba masanya untuk menjelaskan kuasa yang telah termaktub dalam negeri Johor. Adakah anda fikir semua ini adalah satu kebetulan? Jawapannya adalah tidak. Rancangan untuk menggunakan 'Order' ini bermula sejak 1893 apabila Sultan Abu Bakar mempersembahkan ilham baginda di dalam satu persidangan 'World Fair' yang diadakan di Chicago. Sejarah penubuhan dewan negeri di Johor adalah satu fenomena permodenan negeri Johor yang dicetuskan oleh nenda saya Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1868.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 merupakan permulaan sistem raja berperlembagaan. Undang-undang ini telah melalui beberapa pindaan, kuasa perundangan masih dibawah Dewan Negeri dan tertakluk kepada perkenan Raja. Sejarah juga menyatakan bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor telah dijadikan model dan rujukan dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang lain, bermula dengan Kerajaan Negeri Terengganu 20 tahun kemudiannya.


Di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh sesebuah negeri, badan perundangan adalah dibentuk oleh dua komponen utama iaitu Yang DiPertuan Agong dan Majlis Parlimen di peringkat pusat atau Raja dan Dewan Negeri di peringkat negeri. Oleh yang demikian adalah tidak wajar sekiranya kuasa Agong atau Raja dalam meneliti dan memperkenankan sesuatu rang undang-undang itu dihadkan atau dihapuskan.

Ia akan menjadikan peranan Agong atau Raja hanya sebagai "Rubber Stamp" untuk menurunkan Cop Mohor terhadap rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Negeri. Saya tahu perkara ini telah berlaku diperingkat persekutuan dan beberapa negeri, Tetapi tidak di Negeri Johor. Jika dahulu orang-orang Melayu bersatu menentang Malayan Union apabila kuasa raja dikecilkan dan dipaksa menerima penasihat British.

Namun kini parti politik Melayu jugalah yang telah menghadkan kuasa Agong dalam mempertimbangkan sesuatu rang undang-undang dan lebih teruk lagi memaksa Yang DiPertuan Agong untuk menerima dan bertindak mengikut apa jua nasihat Jemaah Menteri. Inilah pindaan kepada perkara 40(1A) dan perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan yang telah dibuat oleh Parlimen Malaysia sebagaimana Akta 885 yang berkuatkuasa Mulai 26 Jun 1994, yang telah merampas kuasa Yang DiPertuan Agong demi untuk kepentingan politik atau kepentingan peribadi. Johor ada sebuah misi. Misi tersebut adalah untuk mengembalikan "Order".

DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim

No comments:

Post a Comment