Pages

Monday, August 24, 2015

Kejuaraan Liga Super Musim Ini Bukan Nasib


"KEJAYAAN kami muncul juara Liga Super musim ini bukan disebabkan nasib tetapi kami memang berhak menang."

Demikian tegas jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT), Mario Gomez selepas skuad kendaliannya muncul juara Liga Super musim ini walaupun tewas 1-2 pada aksi terakhir menentang Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Walaupun tewas tetapi Johor DT kekal meneraju carta liga dengan 46 mata, mengatasi pencabar terdekat, Pahang dengan kelebihan dua mata yang tewas 1-3 kepada Terengganu malam kelmarin.

Menurut Gomez, kejayaan mereka itu secara dasarnya perlu diukur menerusi perjuangan anak-anak buahnya termasuk sokongan setiap individu yang turut membantu Johor DT sejak permulaan musim ini.

"Kami kini adalah juara Liga Super. Kemenangan ini sangat penting untuk karier saya, pemain dan semua pihak dalam skuad Johor DT.


"Kami bukannya bernasib baik. Kami telah bekerja keras dalam setiap perlawanan yang diharungi sepanjang musim ini, malah semua pemain telah mempamerkan rentak permainan bermutu tinggi termasuk pada perlawanan terakhir ini.

"Bagi saya, apa yang paling penting ialah untuk menjadi juara. Saya berpuas hati dengan kejayaan ini dan pujian seharusnya diberikan kepada semua pemain yang telah memainkan peranan penting terhadap kejayaan ini. Jika kamu mempunyai pemain yang berkualiti, kamu akan menjadi juara," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim tidak mengambil masa lama untuk mendahului Johor DT 2-0 menerusi jaringan awal Shahrul Saad pada minit kelima sebelum Indra Putra Mahayuddin menyempurnakan sepakan penalti ekoran layangan kad merah kepada Junior Eldstal yang mengasari Ndumba Makeche dalam kawasan kotak penalti.

Bagaimanapun, Johor DT cuba bangkit dan mereka berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Luciano Figueroa, namun kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

No comments:

Post a Comment