Pages

Monday, December 30, 2013

Amirulhadi Zainal Lega


Bekas pemain tengah kebangsaan, Amirulhadi Zainal mengakui lega selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kontraknya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim depan adalah sah.

Apa pun dia yang ditemui selepas aksi persahabatan JDT menentang kelab dari Liga Singapura (Liga S), Hougang United FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, kelmarin terpaksa akur dengan tindakan denda RM25,000 yang dikenakan Jawatankuasa Status FAM yang bersidang Jumaat lalu itu.
"FAM dah ambil tindakan dan saya akui amat lega. Keputusan FAM itu memberi perangsang kepada saya untuk beraksi pada tahap tertinggi bersama JDT.

Aksi persahabatan

"Saya yakin JDT yang dibarisi dengan pemain berkualiti mampu beri saingan sengit pada saingan Liga Super yang bermula 18 Januari ini dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu skuad itu membawa pulang satu piala pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baru ini," katanya.


Pada aksi persahabatan yang diadakan pertama kali di stadium keramat skuad Harimau Selatan selepas ditutup untuk penambahbaikan, skuad bimbingan Cesar Ferrando Jiminez mudah menjinakkan Hougang United 3-0 dan Amirulhadi yang sinonim dengan panggilan `Yol' membuat penampilan pada aksi babak kedua.
Ditanya mengenai denda RM25,000, Amirulhadi berkata dia akur dan tidak boleh buat apa-apa dengan denda yang dikenakan itu.

Mengenai corak permainan diterapkan Jiminez biarpun baru dua minggu bersama skuad Harimau Selatan, Amirulhadi nyata tidak menghadapi masalah untuk mengikuti corak permainan yang diterapkan jurulatih dari Sepanyol itu.

Malah, dia mengakui corak latihan yang dipratikkan oleh pengendali itu begitu sistematik dan taktikal.

"Memang ada perbezaan dari segi taktikal tetapi saya tidak menghadapi masalah untuk menjiwai corak latihan yang diterapkan oleh jurulatih.

“Persefahaman antara pemain juga tidak menimbulkan kesukaran. Saya tidak kekok kerana pernah beraksi bersama Safiq Rahim, Mahali Jasuli, Mohd Amri Yahyah dan Norshahrul Idlan Talaha ketika bersama skuad kebangsaan.

“Ia membentuk kombinasi dan persefahaman yang mantap bagi mengharungi kempen Liga M nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment