Pages

Tuesday, November 19, 2013

Harimau Muda A jalani Sesi Motivasi Di Johor Bahru


Skuad Harimau Muda A akan menghadiri sesi motivasi selama empat hari bermula 27 November ini di Johor Bahru, sebelum ke Myanmar untuk misi mempertahan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata sepanjang berada di sana, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bakal menjalani sesi kaunseling bersama pakar motivasi selain mengadakan perlawanan persahabatan.

"Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PNBJ) bersetuju mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Harimau Muda A, namun saya tidak pasti sama ada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang akan dihadapi mereka pada 29 November ini.


Bincang dengan Kim Swee

"Kita bersetuju menghantar skuad berkenaan untuk sesi motivasi berkenaan selepas mengadakan perbincangan bersama Kim Swee," katanya.

Hamidin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media pengumuman Kejohanan Bola Sepak Juara Sekolah 100PLUS Super Cup Bawah 17 tahun peringkat kebangsaan 2013 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Kejohanan itu dijadual berlangsung dari 23 hingga 28 November ini di Stadium Mini SMK Mutiara Impian, Pulau Pinang dan dianjurkan oleh 100PLUS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Antara pasukan yang sah menyertai pertandingan ialah SM Sains Tuanku Syed Putra (Perlis), SMK Mergong (Kedah), SMK Penang Free (Pulau Pinang), SMK Anderson (Perak), SMK Tinggi Kajang (Selangor), SMK Seri Permaisuri (Kuala Lumpur).

Selain itu, SMK Dato' Sedia Raja (Negeri Sembilan), SMK Bukit Rambai (Melaka), SMK Dato' Bentara Dalam (Johor), SMK Sultan Abu Bakar (Pahang), SMK Sultan Sulaiman (Terengganu), SMK Kg Chengal (Kelantan) dan SMK Gedung (Sarawak).

Hamidin berkata, Harimau Muda A itu bakal diuji oleh kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPPJ) pada 4 Disember ini sebelum bertolak ke Myanmar, tiga hari kemudian.

No comments:

Post a Comment