Pages

Tuesday, December 24, 2013

Zaquan Tekad Tampil Aksi Terbaik


ADA misi peribadi yang mahu dilakukan Zaquan Adha Abdul Razak ketika membantu Johor Darul Takzim II (Johor DT II) mengharungi saingan Liga Premier musim depan.

Menurut Zaquan, 26, dia bersama beberapa pemain senior lain berazam mampu memberikan contoh terbaik kepada majoriti pemain muda yang menyarung jersi Johor DT II kali ini di bawah kendalian Azmi Mohamed.

“Layak ke saingan Liga Super (2015) sememangnya satu bonus tetapi saya dan pemain senior yang lain lebih gemar memikirkan peranan kami sebagai role model dalam membantu pemain-pemain muda.

“Ini kerana Johor DT II lebih memberikan keutamaan pembangunan pemain muda sebagai pendedahan,” katanya kepada Kosmo! semalam.


Selain Zaquan, antara pemain senior lain yang menyarung jersi Johor DT II musim depan termasuklah See Kok Luen dan juga bekas kapten Lions XII, Shahril Ishak.

Zaquan juga enggan terlalu memikirkan ‘perpisahan’ bersama pasangan kembarnya, Aidil Zafuan yang kekal bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam aksi Liga Super musim depan.

“Sudah tentu terasa sedikit ganjil, ini kali pertama kami beraksi dengan pasukan yang berbeza (berbanding Negeri Sembilan, Angkatan Tentera Malaysia dan Johor DT sebelum ini).

“Namun, saya percaya berpeluang beraksi lebih kerap bersama Johor DT II mampu membantu saya supaya kembali menemui semula sentuhan sebenar.

“Soal beraksi di Liga Premier juga bukan satu isu memandangkan kami berada di bawah payung yang sama (Persatuan Bola Sepak Negeri Johor),” katanya.

Mengulas lanjut, Zaquan juga optimis mampu menemui semula sentuhan penyudah yang berkesan biarpun masih dihantui kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kirinya.

“Saya belum berupaya beraksi sepenuh masa 90 minit atas nasihat doktor.

“Buat masa ini, saya komited menjalani latihan ringan dan berharap mampu beraksi dengan baik bagi membantu Johor DT II mengharungi Liga Premier kelak,” katanya.

No comments:

Post a Comment