Pages

Tuesday, February 4, 2014

Jurulatih JDT Buat Laporan Polis


Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Cesar Ferrando Jimenez Selasa membuat laporan polis berhubung dakwaan kejadian di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lepas.

Menurut peguamnya Datuk Baljit Singh Siddhu, dalam laporan itu Ferrando menyatakan bahawa beliau merupakan mangsa dalam kejadian itu.

"Jimenez berkata beliau adalah mangsa dalam kejadian itu tetapi T-Team telah memutar belit fakta," katanya kepada pemberita di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan di sini Selasa.

Menurut Baljit, Ferrando menyatakan bahawa instruktur kecergasan T-Team telah bertindak menarik kolar bajunya manakala pemain T-Team berjersi nombor 16 menolaknya.

"Kita akan lihat perkara ini secara terperinci dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana fitnah atau tohmahan mengenai perkara tersebut," katanya.


Setiausaha Kehormat JDT Mohd Fahmy Yahya turur hadir di balai polis tetapi pihak media yang turut berada di situ tidak diberikan salinan laporan polis tersebut.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Semalam pemain T-Team, pihak pengurusaan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Pemain dan jurulatih kecergasan T-Team yang didakwa terlibat ialah pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih Stefano Impagliazzo.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment