Tuesday, September 20, 2016
Analisis AFC: JDT Berpeluang Ke Separuh Akhir
JUARA bertahan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal menerima kunjungan pasukan South China dari Hong Kong pada aksi suku akhir kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin pada malam ini.
Menerusi pertemuan suku akhir pertama sebelum ini, JDT berjaya melakarkan keputusan seri 1-1 dengan South China menerusi jaringan tunggal daripada pemain penyerang, Jorge Pereyra Diaz pada minit ke 22.
Namun begitu, South China bangkit daripada ketinggalan untuk menyamakan kedudukan sebelum wisel penamat dituipkan oleh pengadil perlawanan.
Dalam pertemuan malam ini, keputusan seri tanpa jaringan atau kemenangan 1-0 pada suku akhir kedua di Larkin sudah cukup buat JDT untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC.
JDT dilihat masih mempunyai peluang cerah untuk melangkah ke pusingan seterusnya malah pengendali kelab tersebut, Mario Gomez turut optimis dengan kemampuan anak buahnya bagi menerima kunjungan lawan malam nanti.
“Kami masih belum berada dalam zon selamat untuk ke separuh akhir, oleh itu pemain harus menggandakan usaha memburu kemenangan.
“Kami tidak akan ambil mudah perlawanan ini kerana kami mahu menang,”katanya melalui laman Facebook Johor Southern Tiger sebelum ini.
Selain itu, Gomez turut mengingatkan pemain agar mengekalkan konsentrasi sepanjang perlawanan tidak kira di mana-mana posisi sekalipun.
JDT dilihat perlu memberikan penumpuan 100 peratus dalam menghadapi perlawanan malam ini bagi menggelakkan pihak lawan mengambil kesempatan dengan menjaringkan gol pada minit-minit akhir seperti pertemuan sebelum ini.
Tambahan pula, dengan beraksi di laman sendiri sudah pasti memberikan kelebihan buat JDT bagi mengekalkan Piala AFC yang dimenangi mereka musim lalu.
Pada persaingan tahun lalu, JDT menundukkan South China dengan agregat kemenangan 4-2 selepas terikat 1-1 pada perlawanan suku akhir pertama di gelanggang sendiri.
Sementara itu, pasukan South China mara ke peringkat suku akhir sebagai naib juara Kumpulan G dengan merekodkan tiga kemenangan dan kalah tiga perlawanan sebelum menundukkan Ceres 1-0 pada aksi penentuan.
Dalam pada itu, undian suku akhir lain turut menyaksikan pertembungan antara JSW Bengaluru FC dari India dengan pasukan Singapura, Tampines Rovers.
Pasukan Al-Ahed dari Lebanon diundi menentang Al Muharraq (Bahrain) manakala pasukan Iraq, Air Force Sports Club akan bertemu Al Jaish SC dari Syria.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment