Saturday, November 9, 2013
Tunku Ismail mahu julang nama negara di peringkat Asia musim 2015
Johor Bahru: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam merungkai persoalan berhubung tindakan ‘memancing’ ramai pemain berkualiti menyertai Johor Darul Takzim (JDT) musim depan dengan menegaskan ia lebih terarah untuk memburu slot ke saingan Piala AFC musim 2015.
Ini bermakna JDT perlu memenangi Liga Super atau Piala FA musim depan seandainya mahu tiket beraksi dalam Piala AFC.
Tunku Ismail berkata, selepas berbincang dengan ketua jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez adalah wajar membariskan pemain yang berkualiti bagi memastikan pemain gantian yang beraksi menggantikan pemain utama setaraf dan bukan sekadar penumpang.
Katanya, pemain yang sering berada dalam kesebelasan utama pasukan yang pernah disertai tetap disenarai dalam kesebelasan utama JDT memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) cukup kompetitif musim depan dan banyak risiko akan dihadapi terutama kecederaan dan penggantungan perlawanan.
Bawa nama Malaysia
“Kita perlu bersedia dengan pemain berkualiti bagi menggantikan pemain utama malah selepas berbincang dengan jurulatih, Jiminez, dia sendiri memaklumkan kepada saya sebagai pemain profesional setiap minit aksi di padang amat berharga dan wajarlah kita ambil pemain terbaik untuk menguatkan pasukan.
“Saya tidak meletakkan sasaran muncul juara ‘treble’ tetapi apa yang disasarkan adalah layak ke Piala AFC bagi memastikan pasukan saya membawa nama Malaysia di saingan kelab-kelab Asia menyerlah dan kekuatan pemain penting bagi mengimbangi pasukan dari Asia,” katanya.
Baginda berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan pemanas badan antara skuad Harimau Selatan yang menampilkan pemain import Pablo Aimar dan Braulio Nobrega Rodriguez menentang JMF FC di Padang Seri Gelam yang berkesudahan JDT menang 7-1.
Shahril, Baihakki ke Johor
Tunku Ismail juga mengesahkan kapten Lions XII, Shahril Ishak sudah menandatangani kontrak dua tahun manakala Baihakki Khaizan menandatangani kontrak empat tahun dan kedua-dua pemain itu akan beraksi bersama Johor pada saingan Liga Perdana.
“Kapten Bawah 23 Tahun Singapura, Hariss Harun pula akan bersama JDT selama dua tahun,” katanya.
Zaquan Adha ke pasukan Johor
Bekas bintang penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak sah akan kekal di Johor, namun bukan menyarung jersi gergasi Harimau Selatan, Johor Darul Takzim (Johor DT), sebaliknya bakal membawa cabaran Johor dalam Liga Perdana musim depan.
Baginda berkata, Zaquan yang terlepas hampir separuh musim Liga Malaysia 2013 akibat kecederaan telah menyatakan persetujuan untuk beraksi bersama pasukan Johor.
"Zaquan akan beraksi bersama pasukan Johor musim depan, Safee belum membuat sebarang keputusan.
"Dia masih berfikir tetapi saya berharap dia akan buat keputusan dalam tempoh dua tiga hari ini,"
Safee yang sebelum ini dipinjam dari kelab Indonesia, Arema gagal menyerlah bersama pasukan Johor DT sepanjang musim lalu, namun ditawarkan untuk beraksi bersama pasukan Johor musim depan.
Dia masih mempunyai baki kontrak sehingga Februari tahun depan bersama Arema, tetapi kelab Indonesia itu dalam satu kenyataan baru-baru ini memberitahu khidmat Safee tidak lagi diperlukan kerana mereka mempunyai pemain yang mencukupi.
Kesemua pemain JDT dan Johor dijangka akan diperkenalkan secara rasmi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 21 Disember ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment