Pages

Wednesday, October 28, 2015

Mario Gomez Yakin JDT Mampu Berikan Saingan Sengit


Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez yakin anak buahnya mampu memberikan saingan sengit dalam perlawanan akhir Piala AFC menentang pasukan tuan rumah FC Istiklol di Dushanbe, Tajikistan Sabtu ini.

Meskipun terpaksa bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk perlawanan akhir itu selain saingan Piala Malaysia, namun pengendali dari Argentina ini percaya skuad Harimau Selatan sudah bersiap sedia untuk memberikan aksi yang terbaik, sekali gus merangkul piala berprestij berkenaan.
“Tinggal dua hari untuk menjalani latihan dan kami sudah bersedia. Tumpuan sekarang untuk menjulang Piala AFC,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, di sini semalam.

JDT mencipta sejarah menjadi pasukan negara pertama layak ke perlawanan akhir Piala AFC sejak diperkenalkan pada 2004. JDT dan FC Istiklol layak secara automatik selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) pada 25 September lalu.

Keputusan tersebut diambil FIFA susulan keputusan kerajaan Kuwait yang mahu melaksanakan undang-undang sukan baharu yang mengancam autonomi KFA sebagai badan bebas daripada campur tangan kerajaan.

Ekoran itu, penyertaan dua pasukan dari negara ber­kenaan, iaitu Qadsia SC dan Kuwait SC, yang masing-ma­sing menjadi lawan JDT dan Istiklol dalam perlawanan separuh akhir dibatalkan.

Gomez ber­kata, fokus JDT kini ialah untuk membiasakan pema­in dengan persekitaran dan cuaca di Tajikistan sebaik sahaja tiba di Dushanbe kelmarin selain memberi penekanan kepada latihan fizikal selain meningkatkan ketahanan psikologi pemain.
“Padang di sini (lokasi perlawanan) berbeza dengan padang yang biasa kita gunakan kerana mereka menggunakan padang sintetik.
“Oleh itu, kami akan biarkan pemain menyesuaikan diri de­ngan persekitaran dan padang di sini supaya mereka dapat mempamerkan prestasi terbaik dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment